Ikan emas (Carassius auratus) adalah sebahagian daripada
keluarga kap dan ia menjadi pilihan di kalangan pemilik akuarium untuk
memeliharanya kerana warna keemasan yang sering menambat hati terutama mereka
yang baru berjinak dengan hobi ini.
Bagaimanapun terdapat pelbagai spesies ikan emas di pasaran
termasuk Red Oranda, White Oranda, Pearlscale, Moor, Teleskop, Comet, Pompom,
Ranchu, Lionhead dan Red Oriental Ryukin yang sering menjadi pilihan pemilik
akuarium. Ikan emas mendapat permintaan baik daripada peminat akuarium kerana
harganya yang berpatutan serta warna yang sering mendapat perhatian ramai.
Moor |
Pompom |
Pearlscale |
Red Oranda
Ternakan ikan emas boleh dilakukan dengan memilih ikan induk
(jantan) yang boleh dikenal pasti dengan melihat sifat luarannya yang lebih
kecil berbanding ikan betina yang berperut buncit serta berbadan pendek
manakala sirip ikan jantan memiliki biji mutiara kecil yang lebih jelas.
Pemeliharaan ikan jantan dan betina dapat menggalakkan pembiakan spesies itu
dan kemungkinan itu boleh menjadi kenyataan dengan mengikut beberapa syarat
asas yang betul untuk menggalakkan proses pembiakan.
Sebagai permulaan, campuran metilena diperlukan untuk
mencegah jangkitan kulat pada telur yang dihasilkan nanti dan penggunaan pokok
hiasan seperti kiambang (Eichornia crassipes) hendaklah dimasukkan ke dalam
akuarium sebagai penggalak pembiakan. Sebelum dilepaskan, induk matang jantan
dan betina perlu diasingkan sekurang-kurangnya dua minggu pada waktu malam atau
awal pagi bagi membantu menggalakkan proses pembiakan ikan dalam masa yang
lebih singkat.
Telur ikan yang sudah keluar akan melekat pada akar kiambang
dan ia akan menetas dalam tempoh 30 hingga 35 jam manakala akar kiambang perlu
dibuang selepas proses penetasan telur berlaku. Makan hidup seperti rotifer dan
miona perlu diberikan pada hari keempat penetasan bagi membantu ikan mendapat
zat yang diperlukan untuk terus hidup.
Bagaimanapun, anda disarankan untuk memisahkan ikan yang
baru menetas dengan ikan dewasa bagi mengurangkan risiko ia terhapus akibat serangan
ikan yang lebih besar dan elakkan mencampurkan ikan spesies ini dengan ikan
ganas seperti toman atau flowehorn.
|